Pada
hari ini gejala ikhtilath (bercampur-gaul) di antara lelaki dengan perempuan
berlaku dengan meluas sekali. Seolah-olah seperti tiada siapa yang menyedari
perkara tersebut termasuk suatu yang terlarang di sisi agama. Disebabkan
hilangnya kesedaran itu jugalah, maka ia menjadi salah satu faktor yang
mendedahkan kaum wanita kepada pelbagai bentuk ancaman keselamatan dan maruah.
Allah
s.w.t berfirman (maksudnya): “…hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah
kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah
terdahulu.” (Surah al-Ahzab, 33:33)
Walaupun
ayat ini zahir asalnya untuk isteri-isteri nabi, tetapi sebenarnya ia turut
mencakup seluruh kaum wanita beriman secara umum. Kerana wanita beriman itu
mengikuti isteri-isteri Nabi dan menyelisihi perilaku kaum wanita jahiliyyah.
Hal ini antaranya sebagaimana dijelaskan dalam Tafsir al-Qurthubi dan Tafsir
Ibnu Katsir.
Juga
firmanNya: “Maka wanita yang soleh adalah yang taat kepada Allah lagi
memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara
mereka.” (Surah an-Nisaa’, 4: 34)
Nabi
s.a.w juga pernah bersabda: “Persoalan anak Adam berkaitan zina telah
ditentukan. Tidak mustahil ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan
melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan kata-kata,
tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina
dengan angan-angan (keinginan), dan kemaluanlah yang akan membenarkan
(merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (H.R. Muslim, 13/125, no. 4802)
Hadith
ini menunjukkan bahawa perbuatan di antara lelaki dan wanita yang saling
memandang, saling berbual tanpa keperluan syar’i, bersentuhan atau bersalaman,
serta apa yang disebutkan melalui hadith ini tentang zina adalah terlarang dan
perlu dielakkan.
Jika
kita teliti betul-betul, nescaya kita akan temui catatan-catatan yang sahih
berkaitan wanita-wanita yang terdiri dari kalangan para sahabiyah di zaman
Nabi. Yang mana mereka ini sifatnya amat pemalu. Mereka berusaha mengelak dari
menjadi tatapan kaum lelaki dengan tetap mendiami rumah-rumah mereka. Jika
mereka keluar pun, mereka akan keluar atas alasan yang syar’i dalam keadaan
yang terjaga serta ditemani oleh mahram mereka.
Di
antara sebab wanita dibenarkan keluar adalah seperti untuk solat berjama’ah,
menuntut ilmu agama, dan beberapa yang lainnya yang diperlukan selagi mana
berada dalam keadaan aman dari fitnah, mendapat izin dari wali atau suami, dan
setelah hak-hak suami dan anak-anak ditunaikan dengan sempurna. Jika mereka
keluar, diwajibkan pula untuk mendapat pengawasan atau ditemani oleh mahram,
bebas dari ikhtilath, dan berpakaian dengan pakaian yang syar’i (menutup
aurat).
Walaupun
wanita dibenarkan untuk solat berjama’ah di masjid bersama dengan yang lainnya,
Rasulullah s.a.w tetap menegaskan bahawa solat terbaik bagi kaum wanita adalah
di rumah mereka masing-masing. Untuk ke masjid pula, Rasulullah s.a.w
menyediakan pintu khas untuk para wanita bagi mengelakkan percampuran dengan
kaum lelaki. Dalam solat, Islam mengasingkan
pula saf wanita di belakang dan lelaki di hadapan.
Nabi
s.a.w bersabda: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang
paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita
adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling
depan.” (H.R. Muslim, 2/435, no. 664)
Manakala
ketika tamat sahaja solat (sebaik salam diucapkan), kaum wanita perlu segera
beredar. Manakala kaum lelaki, mereka beranjak setelah para wanita selesai keluar
terlebih dahulu.
Ini
sebagaimana yang diceritakan oleh Ummu Salamah r.ha (salah seorang isteri Nabi
s.a.w). Beliau berkata:
“Bahawasanya
pada zaman Rasulullah s.a.w, kaum wanita segera bergerak keluar (beredar)
apabila mereka telah mengucapkan salam pada solat fardhu. Sementara itu,
Rasulullah s.a.w dan kaum lelaki yang solat bersama-sama beliau tetap berada di
tempat mereka bersesuaian dengan apa yang dikehendaki Allah. Apabila Rasulullah
s.a.w bangun, maka mereka pun ikut bangun.” (H.R. Bukhari)
Bagi
majlis-majlis ilmu pula, Rasulullah s.a.w mengasingkan (memisahkan) di antara
lelaki dengan wanita. Abu Sa’id al-Khudri r.humenceritakan:
Ada seorang
wanita datang menemui Rasulullah lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kaum lelaki
telah pergi dengan membawa hadith-hadith daripada engkau. Maka luangkanlah satu
hari untuk kami (kaum wanita) supaya kami dapat menemui engkau pada hari
tersebut dan engkau mengajarkan kepada kami apa-apa yang telah diajarkan Allah
kepada engkau.”
Rasulullah
s.a.w pun menjawab: “Berkumpullah kamu pada hari ini dan ini, di tempat ini dan
ini.” Setelah itu, para wanita pun berkumpul di tempat yang dijanjikan
tersebut, maka Rasulullah s.a.w menemui mereka dan mengajar mereka
perkara-perkara yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t kepadanya. (H.R. Bukhari,
22/284, no. 6766)
Namun
agak sedih hari ini, fitnah ikhtilath amat berleluasa bukan sahaja di
pasar-pasar, di jalan-jalan, di pusat-pusat membeli-belah, di tempat-tempat
kerja, atau di majlis-majlis walimah, tetapi juga telah sampai sehingga ke
masjid-masjid dan pusat-pusat pengajian umat Islam. ‘Aisyah r.ha (Ummul mukmin)
sendiri pernah mengutarakan sesuatu apabila beberapa bentuk fitnah dari
kalangan wanita mula berlaku. Beliau mengatakan:
“Sekiranya
Rasulullah s.a.w melihat apa yang dilakukan oleh para wanita pada masa sekarang
ini, nescaya baginda akan melarang mereka dari pergi ke masjid sebagaimana kaum
wanita Bani Israel dilarang ke masjid.” (H.R. Bukhari, 3/378)
Dalam
sebuah hadith yang lain, daripada Hamzah B. Abu Usaid al-Anshari rah daripada
bapanya, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w berbicara ketika
berada di luar masjid sehinggalah berlaku percampuran lelaki dan wanita di
tengah jalan. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda kepada kaum wanita:
“Hendaklah
kamu melambatkan dalam berjalan (supaya berjalan di belakang), kerana kamu
tidak berhak untuk memenuhi tengah-tengah jalan. Dan hendaklah kamu berjalan di
tepi jalan, sehingga ada seorang wanita yang serta-merta berjalan merapat ke
dinding, hingga bajunya tersangkut pada dinding disebabkan terlalu rapat dengan
dinding.” (H.R. Abu Daud,)
Bayangkanlah,wanita
dizaman Nabi dan para sahabat pun mereka tetap bersembunyi dan mengelakkan diri
dari khalayak kaum lelaki. Yang mana pada masa tersebut kita ketahui
orang-orang yang teguh beriman amat ramai serta mendominasi pula masyarakat
pada ketika itu.
Berbeza
dengan zaman ini, lelaki yang tegar beriman semakin kurang. Yang beriman tetapi
lemah pun ramai. Lelaki-lelaki fasiq dan suka mengambil kesempatan pula yang
banyak berkeliaran. Yang kafir juga tidak kurang ramainya.
Maka,
sepatutnya kaum wanita beriman pada hari ini wajib lebih berhati-hati dan perlu
memiliki rasa malu yang tinggi dari menjadi tatapan lelaki-lelaki asing di
luar. Apatah lagi khabar-khabar fitnah dan jenayah yang mengaitkan wanita dalam
masyarakat hari ini begitu banyak sekali.
Semoga
kita semua tidak menjadi fitnah di antara satu sama lain sebagaimana
dikhabarkan Rasulullah s.a.w dalam sabdanya:
“Aku
tidak meninggalkan fitnah sepeninggalanku yang lebih bahaya bagi lelaki
melebihi fitnah wanita.” (H.R. Bukhari dan Muslim –Muttafaq ‘alaih)
Saidina
‘Ali r.hu pernah
berkata kepada isterinya, (iaitu) Fathimah r.ha: “Wahai Fathimah, apa yang
terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab: “Hendaklah dia tidak
melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki pun tidak melihatnya.” ‘Ali
berkata lagi: “Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di
antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki dan dia melihat
mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.” (adz-Dzahabi,
al-Kaba’ir,m/s.171-172)
Jadilah
wanita muslim yang beriman. Wanita beriman itu bukan wanita murahan. Kerana
wanita beriman itu amat mahal lagi berharga. Yang harganya tidak ternilai
sedikit pun dengan helaian wang ringgit. Melainkan dengan apa yang telah
dinilai dan ditetapkan oleh Allah s.w.t bagi diri-diri mereka. Mereka menerima,
bersyukur, dan redha dengannya. Ganjaran buat mereka adalah Syurga Allah yang
luas terbentang.
Rasulullah
s.a.w bersabda: “Apabila seorang wanita telah mendirikan solat 5 waktu,
berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (atau kemaluannya), serta
mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, “Masuklah engkau ke dalam
Syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu.” (H.R. Ahmad, 3/199, no. 1661.
Ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 5/34, no. 4598. 8/339, no. 8805. Ibnu
Hibban, Shahih Ibnu Hibban, 9/471, no. 4163. Hadith hasan lighairihi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan